Antara isu biasa penyusuan ketika hamil ialah :
Puting tegang dan payudara sakit, sensitif dan berdenyut-denyut. Majoriti ibu sakit atau tidak selesa di bahagian puting mereka disebabkan perubahan hormon. Rasa ini boleh menjadikan ibu tidak selesa untuk menyusukan anak.
Ibu boleh cuba menyesuaikan kedudukan badan dengan berbaring semasa menyusukan bayi, atau mengalih perhatian dari rasa sakit dengan membuat perkara lain seperti membaca buku atau menonton televisyen. Kesakitan dan ketidakselesaan ini mungkin menjadikan ramai ibu mengambil keputusan untuk berhenti penyusuan.
Selain itu, susu juga akan mengalami perubahan rasa. Hormon kehamilan menyebabkan pengurangan jumlah laktosa dalam susu yang dikeluarkan manakala kandungan natrium meningkat. Susu lebih masin, anak menyusu mungkin tidak suka rasa susu itu. Anak kita mungkin akan bercerai susu secara semula jadi, tetapi ada juga tidak menghiraukan perubahan rasa ini.
Ramai ibu mendapati susunya semakin kurang seiring kandungan yang semakin membesar. Ada anak mula meragam apabila susu terlalu sedikit dan tidak puas. Ini boleh menyebabkan anak cerai susu secara semula jadi. Cubalah menyusu anak untuk seberapa lama yang boleh kerana susu ibu membekalkan nutrisi yang baik serta faedah immunologi kepada anak.
Ada ibu mengadu bahawa dia rasa letih berganda. Penyusuan itu sendiri sama ada hamil atau tidak kadang kala meletihkan kita. Letih ini sekejap sahaja. Anak-anak akan mula membesar dan tidak minum susu ibu lagi. Nikmatilah ‘bonding time’ ini.
Jika bimbang penyusuan boleh menambah keletihan, fikirlah bahawa masa menyusu anak itu merupakan peluang yang baik untuk kita berehat.
Perut ibu kadang kala terasa kejangan. Kekejangan ini tidaklah seperti kejang di kaki. Biasanya darjah kekejangan ini rendah, namun ibu dapat rasa. Penyusuan boleh meransangkan sedikit pengecutan uterus (rahim), tetapi ini tidak berbahaya kepada bayi dalam kandungan jika ibu tidak mengalami komplikasi kehamilan. Pengecutan ini berlaku disebabkan oleh hormon oksitosin yang dikeluarkan semasa penyusuan berlangsung, tetapi biasanya jumlah pengeluaran tidak cukup untuk menyebabkan pembukaan servik (pangkal rahim) sebelum masanya.
Jadi, dalam kebanyakan kes, penyusuan tidak akan menyebabkan keguguran atau kelahiran tidak cukup bulan.Anak mungkin berhenti menyusu sebelum adiknya lahir oleh salah satu atau semua sebab di atas.
Perut ibu yang semakin membesar dan pangkuan ibu yang semakin sempit menjadikan kedudukannya semasa menyusu menjadi kurang selesa juga menyebabkan anak mahu cerai susu.