Tips Penyusuan Susu Ibu
“Susahlah..kita mak-mak ni tiada ‘me-time’ kalau anak menyusu badan. Iyalah,anak jadi manja, asyik nak bergayut je kat ‘breast’ ibu..Sakit pula tu, bila anak asyik gigit puting. Kadang tu sampai berdarah..aduh!”
Kami pernah mendapat rungutan begini apabila mencadangkan penyusuan susu ibu. Selain itu, pelbagai lagi alasan penolakan kepada penyusuan susu ibu diberi.
Yang sebenarnya, asas kejayaan utama dalam penyusuan susu ibu adalah ilmu dan semangat ibu bapa yang kuat untuk memberikan nutrisi terbaik kepada si anak.

Si ibu perlulah menjaga kesihatan diri dengan mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat, minum air dengan kerap dan rehat serta tidur yang cukup.
Selain itu, makanan penggalak susu (galactagogue) atau sering disebut ‘milk booster’ seperti kurma, barli, halba, habbatussauda’, badam dan oatmil boleh juga diamalkan oleh ibu menyusukan anak. Makanan penggalak susu ini bertindak kepada hormon prolaktin dan oksitosin. Kedua-dua hormon ini membantu penghasilan dan pengaliran susu ibu.
Ibu bapa yang mahu berjaya dalam penyusuan susu ibu perlu elak memberi bayi susu formula. Jika ibu dan anak terpisah atas faktor kesihatan, kerja atau lain-lain, ibu boleh membekalkan susu ibu perahan dan memberikannya menggunakan sudu, cawan kecil atau picagari. Seboleh-bolehnnya elak guna puting susu tiruan untuk mengelak masalah bayi keliru puting.
Di samping itu, susukan bayi mengikut konsep demand and supply. Ayat mudahnya, semakin kerap bayi menyusu, semakin banyak susu ibu dihasilkan. Yang penting adalah berapa banyak susu yang bayi perlukan, dan bukanlah berapa banyak susu yang ibu ada.
Kejayaan dalam penyusuan susu ibu juga bergantung kepada teknik dan posisi lekapan yang betul. Kedudukan dada bayi perlulah menghadap dada ibu bukannya dada bayi menghadap ke atas.
Pelekapan yang betul ialah sebahagian besar aerola (tampuk gelap keliling puting) berada di dalam mulut bayi, dagunya menyentuh payudara ibu dan bibir bayi melengkup keluar. Pipi bayi sepatutnya kelihatan kembung serta terdengar nada hisapan dan aktiviti menelan apabila bayi sedang menyusu.
Jika anda hadapi masalah dalam penyusuan, jangan berputus asa. Dapatkan nasihat professional dari perunding laktasi yang berdekatan. Penyusuan itu mudah jika ada ilmu yang betul.