Ibu-ibu pasti resah, gelisah apabila anak tolak waktu ibu cuba beri susu.
Bayi mengamuk bersungguh-sungguh apabila disuakan ke puting ibu. Ada ketika lain pula, bayi semacam cerewet (fussy) bila ibu riba untuk posisi menyusu. Ke kanan salah, ke sebelah kiri salah, bila duduk tak nak, baring pun tak nak. Penatlah si ibu bermain teka-teki dengan bahasa tangis si anak dan gerak badannya.
Tapi, masalahnya masih juga belum selesai.
Ya, kerana penyelesaian dalam proses menyusu ini bukanlah semudah yang disangka.
Walau masalahnya hanya SATU, iaitu bayi tak nak menyusu, tapi puncanya TERLALU BANYAK.
Ya, proses penyusuan ini bukanlah hanya ‘selak dan sua’.
Mudah betul kan jika hanya selak dan sua. Alangkah bahagianya ibu, kalau semudah itu.
Mari kita bincang apa PUNCA si kecil tak mahu menyusu.
Pada hari awal kelahiran, bayi biasanya berasa penat selepas melalui proses kelahiran yang meletihkan. Bayi juga biasanya akan kerap mengantuk mungkin kerana kesan ubat yang ibu ambil semasa proses bersalin. Jadi, bukanlah bayi baru lahir ini tak mahu menyusu dan
hanya mahu tidur sahaja, tapi ibu perlulah kejut bayi jika sudah tidur melebihi 2 jam.
Bayi yang terpisah dari ibunya selepas kelahiran seperti bayi pramatang atau bayi yang mempunyai masalah kesihatan juga menjadi punca dia tidak mahu menyusu. Bayi tidak mengenali bau badan si ibu dan sudah terbiasa minum susu bukan di payudara ibu.
Bayi bukanlah tidak mahu menyusu, tapi masih dalam fasa mengenali. Ibu boleh mula bercakap dengan bayi dan sentiasa memeluk bayi apabila bayi bersama ibu.
Untuk bayi pramatang, mereka bukan tak nak menyusu, tapi mereka masih lemah dan tak mampu menghisap dengan kuat di payudara ibu. Namun, ibu sangatlah digalakkan untuk memerah susu dan berikan bayi susu ibu perahan dengan menggunakan cawan kecil atau tiub.
Ada ketikanya juga, posisi penyusuan yang tak betul dan tak selesa bagi bayi juga menjadi punca bayi menolak untuk disusui. Ada kemungkinan mereka lebih selesa di sesuatu posisi sahaja. Ibu perlu memujuk bayi untuk menyusu dengan pelbagai posisi yang selesa untuk ibu dan bayi.
Manakala, punca bayi menolak untuk menyusu pada hari berikutnya (bukan di awal kelahiran) selalunya kerana aliran susu yang terlalu perlahan atau terlalu laju.
Ya, perlahan salah, laju pun salah. Aliran susu yang perlahan selalunya kerana saluran susu yang tersumbat, ibu sakit, tertekan, kepenatan, ambil minuman berkafein tinggi atau ubat-ubatan tertentu. Salah satu cara untuk atasi masalah aliran susu perlahan adalah dengan cara ibu memerah dahulu sebelum memberi bayi menyusu. Ini kerana ia dapat merangsangkan lagi pengeluaran susu dengan lebih lancar. Jika ibu tertekan, ibu boleh cuba untuk tarik nafas dalam-dalam dan mandi untuk lebih tenang dan relaks. Sebenarnya, apabila ibu gembira, hormon oksitosin yang terhasil dapat membantu meningkatkan pengaliran susu.
Untuk bayi yang menolak susu ibu kerana aliran susu yang terlalu laju pula, ibu boleh cuba ampu di bahagian bawah payudara semasa bayi menyusu untuk mengawal aliran susu. Aliran susu yang laju selalunya menyebabkan bayi tersedak lalu menangis. Jadi, bayi bukan tidak mahu menyusu, tapi aliran yang laju menyebabkan si comel terkejut lalu melepaskan payudara.
Kesimpulannya, ibu jangan mudah mengalah ya jika bayi kecil anda tak mahu menyusu.
Cuba teliti puncanya dan atasi masalah tersebut.
