Tips & Info

Gelisah Menyusu Di Tempat Awam

Gelisah. Hati tidak keruan apabila bayi menangis kelaparan apabila ibu berada di tempat awam. Mahu duduk dan beri susu, pujuk bayi sehingga berhenti menangis, cari bilik tertutup untuk menyusu, lari masuk kereta atau apa perlu dibuat?

Ada mata yang mungkin memerhatikan kita andai menyusu di ruang terbuka.

Jika hal ini dibicara, pasti dapat pelbagai respon dari orang awam. Ada yang memikirkan ibu yang beri susu dari payudaranya di tempat awam tidak malu, seksi, tidak jaga aurat dan ada juga yang membela dengan mengatakan bahawa itu sumber makanan anak, tiada apa yang perlu malu.

Walau apa pun pandangan dan penerimaan setiap orang, kita sebagai ibu perlu jaga kesopanan agar bahagian yang tidak boleh dilihat orang lain tetap terpelihara, kan?

Pertama sekali, ibu boleh mula berlatih menyusui bayi di hadapan cermin dalam rumah. ‘Practice makes perfect’, kata orang. Tempat yang terbaik untuk mula membiasakan diri adalah di rumah kita sendiri. Kita perlu belajar cara untuk menyusukan anak kita apabila berada di tempat awam kelak.

Di hadapan cermin kita boleh nampak cara kita menyusukan anak kita sama ada tertutup atau tidak aurat kita. Ahli-ahli keluarga lain juga boleh dijadikan sebagai pengkritik ketika latihan menyusukan anak kita di tempat awam ini. Apabila kita sudah tahu posisi terbaik waktu menyusukan anak kita dan sudah tahu cara mahu urus situasi-situasi semasa menyusukan anak, kita boleh rancang tindakan yang perlu diambil.

Untuk ibu Muslim, pakailah tudung yang melepasi dada. Selain tuntutan agama, tudung boleh digunakan untuk tutup aurat ketika bayi disusui.

Ada anak yang suka meraba. Itu semula jadi sebenarnya. Rabaan anak di puting adalah sebagai rangsangan untuk susu keluar. Anak yang suka meraba-raba ini boleh diberi mainan lembut untuk dipegang.

Kedua, pilih pakaian yang selesa. Ibu boleh beli atau jahit pakaian khas untuk penyusuan yang mempunyai bukaan tersembunyi supaya penyusuan jadi lebih mudah. Bukaan depan yang berzip (panjang), butang, lubang yang dialas akan memudahkan kita beri susu tanpa perlu selak terlalu banyak. Jangan lupa zip atau butangkan semula setelah bayi diberi susu ya.

T-shirt longgar sering menjadi pilihan yang baik dalam situasi kasual, kerana ibu hanya mengangkat baju di satu sisi untuk memberi menyusukan bayi. Jika pakaian longgar, kain tambahan akan menutupi kebanyakan bahagian perut dan payudara ibu.

Ibu juga boleh pakai pakaian dalam (coli) yang khas untuk penyusuan. Coli ini mudah dibuka di bahagian depan. Ada yang bercangkuk, ada pula yang berbutang. Penggunaan coli ini adalah lebih mudah dan sangat membantu ibu menyusu bayi dengan sempurna berbanding sebelum ini yang mungkin agak sukar kerana terpaksa tarik coli sehingga ke bahagian atas ketika mahu beri bayi susu.

Seterusnya, ibu boleh sediakan penutup. Ibu yang memakai tudung boleh tutup bayi dengan tudung. Ibu yang tidak bertudung boleh cuba guna selimut, penutup khas penyusuan (poncho, nursing cover, nursing scarf ), selendang atau kain gendong (sling, SSC, wrap). Penutup ini boleh melindungi mulut bayi serta payudara dari dilihat oleh orang lain. Tetapi pastikan ibu berlatih di rumah terlebih dahulu kerana kebanyakan bayi tidak suka ditutup muka dan kepalanya semasa menyusu. Bayi seperti ini mungkin akan menarik semua penutup yang diletak berhampirannya. Lagi bahaya apabila bayi tarik penutup atau alas kan? Boleh nampak segala-galanya 😥.

Ibu boleh cari tempat tertutup atau privasi jika tidak jumpa bilik khas penyusuan. Tidak perlulah menyusukan bayi dalam tandas.

Kalau orang pandang macam mana?

Kami akui situasi ini amat merimaskan ibu-ibu yang menyusukan anak. Kita akan berasa sangat tak selesa. Betul tak?

Sekiranya ibu melihat seseorang yang melirik ke arah ibu semasa menyusukan bayi, walaupun mereka mungkin terkejut atau kelihatan terkejut, berikan senyuman kepada mereka. Ibu perlu yakin dan tahu bahawa ibu melakukan sesuatu yang sangat penting dan terbaik untuk anak. Jika kita menunjukkan keyakinan dengan senyuman yang mesra, kita boleh meredakan keadaan yang kurang selesa.

Ibu-ibu, kami beri satu analogi. Jika ada orang yang sayang kita pandang kita, kita pasti akan membalas pandangan mereka, bukan? Maka, jika ada yang memandang ketika kita beri susu, maka padanglah semula kepada mereka. Biasanya orang begini akan palingkan pandangan atau tundukkan pandangan mereka.

Paling penting, ‘be proud of breastfeeding’.

Pemberian susu ibu adalah sesuatu yang mulia. Inilah salah satu perkara terbaik yang kita buat untuk anak kita. Memberi makanan yang tiada tandingan untuk anak kita. Apabila kita bangga, perasaan malu, gelisah mungkin dapat dikikis.

Jangan tunggu bayi terlalu lapar barulah mahu diberi susu. Bayi akan sukar dikawal dan ibu akan lebih panik. Bayi yang meragam akan mula menarik perhatian orang ramai. Elok-elok orang tidak perasan ‘aktiviti’ kita, nanti satu ‘mall’ akan pandang apabila bayi mengamuk. Perlu diingat, bayi akan turut merasai situasi tegang yang dihadapi oleh ibu.

Relaks, penting untuk ibu. Relaks akan melancarkan susu ibu. Tenang aje ibu. Bukan kita buat salah.

Jika suami ada bersama-sama, boleh minta bantuan suami untuk ‘cover’.

Kami harap tips ini dapat bantu ibu-ibu menyusu dengan yakin di tempat awam. Boleh kongsi pengalaman atau tips dari ibu-ibu dalam ruangan komen.

Leave a Comment