Nikmatilah Ramadan
Ramadan hanya datang setahun sekali. Ada antara kita ternanti-nanti kedatangan bulan ini, ada juga antara kita berdebar-debar bimbang kekuatan diri untuk hadapi bulan ini.
Bulan ramai berlumba-lumba untuk beribadah. Jadi, ambil peluang ini untuk sama-sama meningkatkan kualiti ibadah kita kepada Allah.
Anak melekap sahaja, bagaimana mahu beribadah?
Usahalah solat Terawih sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Ibu boleh bergilir solat dan jaga anak dengan anak yang sudah besar. Dua rakaat, menyusu, dua rakaat lagi terpaksa menyusui anak pun tidak mengapa. Jika tidak mampu, kita boleh bersedekah dan amal zikir. Ingat, menyusu juga satu ibadah. Melengkapkan hak anak sehingga dua tahun, pahalanya sangat banyak.
Peluang beribadah dalam bulan Ramadan kita tidak akan dapat pada waktu lain dan juga belum tentu tahun berikutnya kita akan diberi kesempatan ini.
Elakkan aktiviti berpanas di luar jika tidak perlu.
Rutin senaman boleh diubah kepada waktu malam untuk disesuaikan dengan bulan Ramadan. Jangan lupa, rehat yang mencukupi sangat penting untuk kita.
Ajaklah suami bersama-sama untuk jadi pemangkin dalam menjayakan penyusuan susu ibu pada bulan Ramadan.
Kesihatan ibu hamil vs Berpuasa
Ramai ibu hamil memilih untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan ini, kerana ingin mengejar barakah bulan Ramadan dan mungkin kerana memikirkan kesukaran untuk menggantikan puasa pada bulan lain.
Biasanya, puasa sebulan dibolehkan dan selamat untuk wanita hamil dan bayi. Walau bagaimanapun, ada sebabnya Allah swt memberi keringanan (ruksah) untuk ibu hamil.
Paras kandungan gula dalam darah ibu hamil ketika berpuasa adalah lebih rendah berbanding wanita yang tidak hamil kerana darah ibu sentiasa membekalkan glukos kepada bayi dalam kandungan.
Ini akan membuatkan ibu hamil lebih cepat letih dan merasa loya serta mungkin muntah terutama di awal kehamilan. Di samping itu, kekurangan air atau dehidrasi kerana kurang minum air akan menambahkan risiko wanita hamil untuk mendapat darah beku (venous thromboembolism), kerana kepekatan darah adalah lebih tinggi semasa hamil.
Oleh itu, berpuasa atau tidak, wanita hamil perlu sentiasa prihatin dengan kesihatan demi kebaikan diri dan anak dalam kandungan.
Ibu menyusui bayi sepenuhnya juga mampu berpuasa berkat ilmu, usaha dan juga dengan izin Allah.
Berpuasa vs Kurang Susu?
Andai ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dalam susunya tetap tidak akan berubah. Jika ibu makan terlalu sedikit dan berat badan mula turun, jenis lemak dalam susu ibu mungkin berubah, tetapi jumlahnya tidak berubah.
Lemak untuk susu ibu akan diperolehi daripada simpanan lemak dalam badan ibu sekiranya tidak dapat dari pemakanan ibu.
Kurang pengeluaran susu bukan disebabkan ibu berpuasa tetapi kurang rangsangan sama ada kurang menyusu terus bayi atau memerah susu.
Menyusukan bayi akan menyebabkan kita berasa kerap dahaga. Pengambilan air yang mencukupi akan memberi kesan kepada tubuh kita untuk keesokan harinya.
Jika kita kurang air, kita akan berasa tidak sihat dan keletihan sepanjang hari.
