Tips & Info

Istilah Penyusuan – “Let Down Reflex” (LDR)

Basah. Lencun.

Eh, malunya. Nampak pakaian di bahagian payudara basah. Tidak pakai ‘nursing pad’, pakaian tambahan juga tidak bawa.

Sebelum itu rasa menyucuk-nyucuk, nyeri dan berdenyut-denyut di bahagian payudara, susu mengalir laju keluar. Payudara mengeras, aliran susu rasa hangat. Ada yang kata rasa sensasi.

Sebenarnya, apabila ada rangsangan pada aerola, saraf akan menghantar isyarat ke otak untuk merembeskan hormon oksitosin melalui pembuluh darah menyebabkan otot di sekeliling kelenjar susu mengecut dan mengalirkan susu ke saluran susu. Hormon oksitosin (gembira, kasih sayang) ini punya kerja rupa-rupanya ya. Maka berlakulah yang dinamakan Let Down Reflex (LDR) atau pancutan susu.

Kita akan merasa seperti nyeri/ jejarum (painful) di payudara dan susu memancut keluar dengan banyak dalam beberapa saat. Apabila keadaan ini berlaku ketika memerah susu, kita akan nampak susu tiba-tiba keluar/memancut dengan sangat banyak. Jika kita sedang menyusu pula, bayi mungkin akan tersedak atau bunyi bayi menelan laju. Dan bayi juga mungkin melepaskan payudara. Manakala, di sebelah payudara yang tidak diminum oleh bayi pula, susu akan mengalir semasa LDR berlaku.

Maha suci Allah, let down reflex juga boleh berlaku semasa kita mendengar bayi kita menangis. Kadangkala kita hanya teringat bayi kita, susu terus memancut keluar. Susu ini boleh ditadah jika ibu mahu sediakan stok susu perahan. Jika berada di luar, boleh guna `milk collector’. Jika bayi sedang menyusu di sebelah payudara, kita boleh tadah sebelah payudara lagi.

Selepas dapat let down reflect, payudara kita biasanya akan jadi lembik atau lembut semula. Ini bermaksud susu telah keluar dan susu baharu akan dihasilkan.

Penting ke let down ini?

Pancutan susu ini berlaku agar payudara dikosongkan sepenuhnya. LDR juga berlaku supaya pengaliran susu menjadi lancar.

Selain itu, apabila telah lama menyusu, LDR yang berlaku akan mengelakkan bayi berhenti menyusu akibat aliran susu yang terlalu perlahan.

Jika LDR berlaku bukan ketika kita menyusukan bayi, mungkin kita rasa rimas kerana ‘leaking’. Namun, kita perlu bersyukur kerana LDR akan mengelakkan masalah bengkak susu / jangkitan di payudara kita.

Ada ramai ibu berlaku lebih dari satu kali LDR sepanjang satu sesi penyusuan dan ini sangat membantu mereka mengosongkan payudara dengan efektif.

Dua perkara penting dalam LDR iaitu :
1. Hisapan bayi dengan lekapan yang betul.
(ada diterangkan dalam Komik Dr Super Pot Pet halaman 76-79. Boleh beli di http://bit.ly/komikkspsijb )
2. Rembesan hormon oksitosin yang menyebabkan pengeluaran susu. Hormon oksitosin berkait rapat dengan rasa nyaman dan ‘level of stress’ ibu.

Haa, lepas ni ibu-ibu..

Setiap kali kali datang rasa nyeri dan menyucuk itu, ibu perlu gembira dan senyum sahaja ya walau basah lencun baju.

Gembira sebab dapat aliran susu yang lancar.

Senyum kerana bayi dapat menyusu susu ibunya, makanan terbaik yang tiada tandingan.

Leave a Comment