Apabila seorang ibu ada anak kecil, dialah yang paling sibuk menyediakan makanan untuk sahur dan berbuka, tapi biasanya dia jugalah yang makan paling ala kadar.
Seringkali kita lihat, baru mahu suap makanan ke mulut, sudah dengar bayi merengek. Terpaksalah makan secepat mungkin. Kalau bayi terjaga atau menangis, kenalah tangguhkan atau layan keperluan mereka dulu.
Jika ke kedai makan, ada ibu yang makan sambil dukung bayi, meriba bayi yang tengah tidur dan pelbagai lagi gaya.
Kadangkala, terbantut mahu makan walau perut terasa sangat lapar.
Jika setiap hari begini, tak hairanlah ibu menyusu ini akan berasa lebih penat berbanding biasa.
Dapatkan bantuan suami otau orang di sekeliling walau kita rasa kita cukup kuat.
Wahai suami, kalian perlu lebih memahami cabaran yang dihadapi oleh isteri yang berpuasa dalam keadaan menyusukan bayi. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Amat wajar untuk anda turut meringankan beban mereka.
Sekali sekala belilah makanan di luar. Suami perlu sama-sama buat kerja-kerja rumah dan melayan anak agar isteri tidak terlalu letih.
Mengapa Ibu Menyusu Sering Merasa Lapar?
Kebanyakan ibu yang menyusukan bayi akan berasa kerap lapar kerana tubuh perlu ‘bekerja’ sepanjang masa untuk menghasilkan susu yang cukup untuk keperluan bayi.
Biasanya ibu akan menghasilkan 24-28 oz susu setiap hari. Penghasilan susu ini akan menggunakan purata 500 kalori setiap hari.
Sebahagian kalori ini dibakar daripada tisu lemak yang tersimpan dalam tubuh, manakala sebahagian lagi dibakar daripada makanan yang diambil setiap hari.
Tanda-tanda Ternyahhidrat
Jika ibu perasan, setiap kali bayi menghisap payudara, kita akan terasa dahaga. Kadangkala masa memerah pun akan rasa haus amat.
Hausnya bukan dibuat-buat, rasa kering betul tekak dan bibir. Bukannya rasa teringin minum milo ais, jagung susu, kathira, atau apa-apa minuman yang bewarna-warni di bazar Ramadan, cuma haus akan air kosong.
Kajian telah mendapati bahawa proses penyusuan badan mungkin akan menyebabkan pembebasan hormon oksitoksin yang menstimulasikan respon haus badan sistem saraf tunjang.
Puasa bulan Ramadan, ada ibu rasa bagaikan duduk di padang pasir. Kering kontang rasa. Ada yang melepet, terbaring sehingga masuk waktu berbuka.
Perhatikan perubahan diri, jangan sampai ternyahhidrat. Antara tanda-tanda kita ternyahhidrat ialah:
- Rasa sangat dahaga
- Rasa hampir pitam terutama selepas menyusukan bayi ataupun selepas memerah susu
- Pening kepala dan rasa seperti hampir demam
- Rasa loya dan seakan-akan mahu muntah.
- Air kencing berwarna gelap dan berbau kuat
- Sakit kepala atau mengalami kesakitan lain.
- Mengigil
Dehidrasi
Dehidrasi boleh menyebabkan bahaya kepada ibu.
Oleh yang demikian, ambillah tindakan untuk mengelakkan keadaan ini berlaku dengan memastikan diri minum air yang secukupnya ketika bersahur dan berbuka puasa.
Masalah dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan tekanan darah rendah, letih, menggigil, loya, pening dan rasa haus melampau. Sekiranya keadaan ini berlaku, adalah lebih baik untuk ibu berbuka puasa agar tidak menjejaskan tahap kesihatan diri. Boleh rujuk kepada doktor untuk kepastian tahap kesihatan diri.
Antara tips untuk kurangkan dehidrasi ialah :
- Minum air kosong ketika hampir waktu imsak.
- Makan buah-buahan.
- Makan yogurt. Yogurt mempunyai 85% air.