Tips & Info

Tips Tinggalkan EBM (SUSU PERAHAN) Beku Dalam Tempoh Yang Lama

Masuk sahaja bulan Ramadan pasti raya akan menjelang. Pastinya ramai antara kita tidak akan sia-siakan cuti yang diberi dengan hanya duduk di rumah sahaja .

Ibu-ibu yang mempunyai EBM beku pasti risau untuk tinggalkan rumah tanpa pemantauan. Risau rumah tiada bekalan elektrik , peti ais rosak dan yang pasti takut EBM rosak. Selamat ke bila balik nanti untuk anak minum EBM beku tu ?

Ramai ibu yang tertanya-tanya cara untuk pastikan susu beku mereka supaya masih baik dan selamat untuk bayi mereka minum. Kerisauan tentang ini sentiasa bermain dalam minda ibu-ibu. Yalah, mana tidak risaunya jika dalam tempoh ketiadaan di rumah itu tiba-tiba terputus bekalan elektrik. Jika terputus dalam waktu yang lama, maka susu akan mencair. Susu akan membeku semula selepas elektrik disambungkan. Kita pula tidak tahu keadaan itu telah berlaku mungkin akan memberikan bayi susu yang telah rosak kerana proses pencairan dan pembekuan semula.

Semua sedia maklum bahawa susu beku perlu dihabiskan dalam tempoh 24jam selepas dicairkan. Jika tidak dihabiskan, susu yang telah dicairkan (thaw) itu akan rosak.

Jadi, kami mahu kongsi sedikit tips untuk ibu-ibu cuba supaya dapat tinggalkan rumah dengan hati yang tenang . Ada dua tips yang akan kami kongsikan. Untuk lebih jelas, ibu boleh rujuk di poster .

Tips pertama.
1. Bekukan air masak separuh botol/cawan
2. Tuangkan air sirap/air yang berwarna di atas air masak yang sudah beku tadi.
3. Setelah itu, biarkan sahaja di dalam peti beku.

Pemerhatian :
Jika air sirap/ air yang berwarna bercampur dengan air masak, ini bermakna susu beku sudah pernah cair .

Tips kedua.
1. Bekukan air masak dalam botol/cawan
2. Letakkan duit syiling di atasnya

Pemerhatian :
Jika duit syiling tenggelam, ini bermakna susu sudah pernah cair

Mudah bukan untuk ibu-ibu cuba?

Jika ibu lihat sedikit sahaja campuran air masak dan berwarna atau syiling hanya tenggelam sedikit sahaja, ini bermaksud susu tidaklah sepenuhnya mencair . Jika 30 peratus sahaja susu mencair, susu beku masih boleh digunakan.

Tetapi, jika ibu tidak yakin lebih baiklah buang sahaja dari diberi minum susu yang mungkin rosak kepada bayi. Pastinya sayang susu yang banyak perlu dibuang tetapi sayang lagi jika bayi mengalami kesakitan disebabkan susu yang rosak walhal perkara ini boleh dielakkan .

Semoga tips ini memberi manfaat kepada ibu-ibu semua.

Leave a Comment